Thursday, April 3, 2014

Pemancing, Isteri dan ......

Pemancing, Isteri dan ......

Let me gone fishing
Jangan anda merasa was-was jika dikatakan isteri; bukannya ikan atau trip mahal; merupakan lesen besar bagi kaki pancing, khususnya bagi yang dah berkahwin. Bagi yang belum berkahwin pun, mereka tahu dan mengiktiraf hak itu. Sebab itulah sebelum berkahwin, ada yang telahpun merancang dari awal untuk membuat 'baiah' dengan bakal isteri. Mereka tidak mahu lesen memancing yang senang-senang diperolehi semasa zaman bujang ditarik serta merta selepas persandingan.
Namun tidak kesemuanya yang bernasib baik. Ada yang terpaksa membuat pilihan antara sayang isteri atau sayang pancing. Akibatnya, ada pemancing yang berkeluarga terpaksa mengendurkan keaktifan mereka bertrip kerana kekangan si isteri. Bagi yang baru berkahwin, ada yang terpaksa bersara awal. Malah ada juga yang sampai bercerai berai kerana gilakan 'lesen' mahupun 'talak' si isteri. Teringat saya kepada satu ungkapan sinis yang menyebut; "Isteri saya akan meninggalkan saya jika saya pergi memancing. Saya bimbang saya akan kehilangannya."
let me fish
Bagi yang mendapat lesen kekal, maka tidak ada halangan lagi daripada menjadikannya pemancing yang tegar dan berdedikasi, kecuali ia agak bengap atau kehidupannya papa kedana. Dengan sedikit pengorbanannya dalam bentuk wang ringgit, dia boleh menyertai trip pada bila-bila masa dan di mana sahaja yang ia suka, dan oleh kerana kekerapan trip memancingnya itu dia digelar pemancing hardcore. Ia tidak bimbang dikekang atau dimarahi si isteri. Namun ada satu ungkapan lain menyebut; "Seseorang pemancing belum dianggap sebagai pemancing yang kerap memancing jika isterinya tak marah kepadanya kerana pergi memancing."!
Apapun, sukar dipercayai bahawa pemancing yang berbadan tegap dan mempunyai senjata pancing serba ampuh lebih takutkan isteri daripada ancaman ombak tsunami atau lanun dan mafia ganas di lautan. Akan tetapi itulah hakikatnya dalam dunia memancing, satu dunia yang di dalamnya terkandung bermacam bentuk hubungan yang bersifat aneh. Soal yang berkaitan dengan hubungan suami-isteri dalam dunia memancing sangat istimewa jika dibandingkan dengan hobi atau sukan-sukan yang lain. Uniknya hobi memancing ini ialah ia boleh menjadi satu pelengkap tetapi pada masa yang sama juga penguji hubungan antara si pemancing dengan si isteri.
Ada baiknya isu ini dibincangkan secara terbuka agar kita memperoleh panduan yang berguna bagi kepentingan kedua-dua pihak. Dari sudut si isteri, yang suaminya sudah tergilakan pancing, tak guna ia menghalang kerana ini bukan sahaja menimbulkan masalah kepada si pemancing, tetapi mengundang masalah kepada si isteri. Seeloknya si isteri mencari apa titik kelemahan suaminya yang boleh memberi manfaat kepadanya dalam hubungannya dengan suaminya. Memahami mentaliti suami sebagai kaki pancing, bagi seseorang isteri, adalah lebih baik dalam menangani kegilaannya kepada sukan yang hanyir ini.
wife fish
Bagi si pemancing pula, ia perlu sedar setengah jasadnya telah diikat oleh tanggungjawabnya sebagai suami dan ketua keluarga. Mahu tidak mahu, ia bergantung harap kepada persefahaman dan keizinan dari isterinya kalau mahu meneroka minat memancingnya dengan lebih jauh. Tak guna kalau minatnya sahaja meninggi bak gunung dan alatan-alatannya mahal, tetapi sekadar disimpan di bawah katil kerana tak diberi keizinan pergi memancing oleh isteri. Di sini si pemancing boleh dikatakan sedang terjerat dalam satu jurang masalah yang dalam dan ia haruslah mencari petua berkesan yang dapat mengelakkan lesennya ditarik terus oleh isterinya.
MENDALAMI DARI SUDUT PEMANCING
Sebagai isteri seorang pemancing, kita tidak nampak suatu sebab kenapa ia perlu menghalang suaminya terlibat dalam aktiviti ini kerana ia banyak membawa kebaikan kepada suaminya. Sekurang-kurangnya ia menjauhkan pemancing daripada kegiatan lain yang tidak bermoral atau melakukan perbuatan yang ditegah oleh agama mahupun peraturan masyarakat. Ilmu dan latihan yang diperolehinya daripada kegiatan memancing akan melahirkan kekuatan dalam dirinya, mindanya, dapat menyemai budaya beretika, hormat menghormati semasa manusia serta alam dan seterusnya memberi kesan kepada ikatan kekeluargaan.
Dari sudut kekeluargaan, ia memang membawa banyak kebaikan. Ia dapat membantu mengikis sikap pasif, malas dan menyemai budaya aktif, rajin, bertanggungjawab dan prihatin. Paling penting, minat ini dapat mencetuskan hubungan yang erat antara si pemancing dengan isteri dan anak-anaknya.
Memang kita tahu si pemancing sering meninggalkan rumah dan isterinya kerana memancing, tetapi dalam hatinya ikatan kasih saying tetap dibawa dan menjadi ilham sewaktu ia sedang berpenat lelah menentang spesies ikan atau terutamanya jika ia sedang mabuk laut. Perasaan sesalnya sewaktu mabuk laut kerana meninggalkan isteri, anak-anaknya, rumahnya, selimut dan katilnya amat terasa, apatah lagi jika trip yang disertainya itu kumpau. Jadi si suami pergi memancing bukan bererti ia meninggalkan si isterinya dan tak ingat keluarga, apatah lagi mengabaikan tanggungjawabnya, tetapi ia sedang berusaha mengukuhkan hubungannya kerana bukankah ada pepatah yang menyatakan, "Sayangkan isteri tinggal-tinggalkan"?
Bring my wife fishing
Sebagai isteri yang cuba memahami minat suami, ia patut memberi galakan, bukan sahaja kerana itu akan membibitkan rasa persefahaman dan kepercayaan, tetapi ia juga menjadi ukuran yang dapat menilai hubungan yang wujud antara mereka. Jika hubungan mereka baik, maka natijahnya si isteri mampu berkorban untuk kebahagian si suami, jika pancinglah yang menjadi punca kegembiraannya. Isteri patutnya tumpang seronok jika suaminya seronok. Tak wajar ia menyekat minat dan kebebasan suaminya hanya kerana sebab-sebab yang tak jelas, misalnya kerana rasa cemburu atau inginkan perhatian yang lebih.
Jika ia menyekat dan menghalang, maknanya persefahaman antara mereka itu tidak baik, hubungan yang wujud antaranya dengan suaminya tidak erat. Ia menggambarkan sifat-sifat si isteri yang hanya mementingkan diri sendiri. Hubungan yang wujud atas dasar tidak mahu berkorban dan mementingkan diri sendiri tidak akan mampu bertahan lama, pada masa sekarang atau masa depan.
Alasannya ialah, si isteri tidak boleh lupa jika suaminya sudah menjadi gian terhadap hobi ini, ia tidak mampu disekat lagi. Pemancing yang diserang penyakit gila memancing biasanya tidak memberi tumpuan sangat kepada soal lain, yang boleh menjejaskan tumpuannya kepada minatnya itu. Jika ia memperolehi lesen daripada isterinya, rasa terhutang budinya mengukuhkan kesetiaanya kepada si isteri. Adalah dibimbangkan jika ia disekat, kegianannya itu akan disalurkan ke arah hobi lain yang lebih memburukkan lagi keadaan, lebih-lebih lagi dalam keadaannya yang kecewa dengan isterinya. Bagaimanakah jika hobinya itu berubah kepada perkara yang 'tidak sihat' seperti keluar rumah tidak tentu hala, melepak atau atau main kayu tiga dengan perempuan lain? Tidakkah itu yang patut lebih dibimbangi oleh si isteri?
Sepatutnya si isteri menggalakkan suaminya menjuruskan perhatiannya kepada minatnya itu sahaja. Jangan biarkan fikiran dan perhatiannya melencong ke arah yang akan merugikan diri sendiri. Lebih baik sekiranya si isteri menggunakan kesempatan berasaskan minat suaminya itu untuk mendapatkan kawalan, kepercayaan dan mengikat suaminya.
Misalnya si isteri bolehlah menetapkan beberapa syarat jika suami ingin memancing. Ajaklah si suami pergi melancong, berhibur atau memintanya menambahkan wang nafkah atau minta apa-apa sahaja yang anda inginkan darinya. Sudah pasti si suami akan mengikut segala permintaan anda kerana pemancing yang gila pancing selalunya sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapat lesen besar daripada isterinya, asalkan anda tidak menetapkan yang bukan-bukan. Misalnya jangan pula meminta suami membawa sesi keluarga dan anak yang sedang dikandung memancing bersama di atas bot. Atau mahukannya memberi hadiah sebuah kereta Mercedes, kecuali si suami jutawan!
Dalam keadaan inilah si isteri boleh menggunakan 'kuasa'nya yang ada padanya untuk mengikat kedua-dua belah kaki suaminya agar tidak berpaling tadah, yakni tak main kayu tiga. Menarik hati suami dengan memberinya hadiah perkakasan pancing yang mahal-mahal adalah petua paling mujarab yang sudah tentu dapat mencairkan hatinya. Bagi pemancing, keizinan isteri dan dorongannya adalah satu rahmat dan mereka pasti tidak mahu menukarnya dengan benda-benda lain ataupun menambahkan masalah. Di fikiran si suami, kalau sudah mendapat lesen yang besar, buat apa susah-susah mencari lesen kedua hingga terpaksa menggantung kekili dan joran?
Pendek kata, isteri pemancing amatlah bertuah. Mereka perlu menanggung sedikit pengorbanan tetapi hasil yang disemai di kemudian hari sangat berbaloi. Dan isteri perlu ingat minat si suami itu satu masa nanti akan mencapai ke kemuncaknya setelah ia menghabiskan segala kudrat menjelajah ke serata lubuk pancing. Pada masa hadapan kegiannya itu akan pupus dan ia takkan lari ke mana-mana lagi.
MENDALAMI DARI SUDUT ISTERI
Pemancing juga bertuah jika mempunyai isteri yang dapat memahami minatnya dan sering memberi dorongan kepadanya. Tetapi ini tidak pula bermakna si pemancing boleh melakukan sesuka hatinya terhadap peluang dan keizinan yang diberikan isterinya. Ada yang mengatakan suami mempunyai kuasa 'veto' dalam hal keluar rumah dan ia berhak memutuskan ke mana ia mahu pergi, tetapi ini tidaklah betul. Kalau suami ada kuasa 'veto', ia bukan lagi seorang pemancing tetapi diktator. Seorang diktator tidak mempunyai tempat dalam dunia pancingan sebenar.
Di sinilah letaknya peranan si pemancing untuk menilai manakah yang jauh lebih penting, memancing sebagai hobi atau menjaga keluarga sebagai tanggungjawabnya. Kedua-duanya tidak wujud secara bercanggah tetapi boleh bertembung jika tidak diuruskan dengan baik. Bagi pemancing, nilai yang wujud dalam hubungannya dengan isterinya adalah keizinan dan pemahaman si isteri, tetapi bagi si isteri pula tanggungjawab dan perhatian suami.
Women always works
Setiap pemancing haruslah menghargai sepenuhnya dan membalas kepercayaan yang diberikan si isteri dengan bersikap adil, telus dan bertanggungjawab. Ia harus mengamalkan budaya jujur, berterus terang, dan memberi sedikit ruang untuk mendengar keluhan serta memahami isi hati si isterinya. Tanyakan apa sebenar keinginannya, keperluannya dan apa yang boleh kita tunaikan untuknya sekurang-kurangnya beberapa hari sebelum kita mengikuti trip. Jika ia sudah menunaikan permintaan kita, maka kita juga harus menunaikan keperluannya, apatah lagi keperluan seisi keluarga. Ini bukannya suatu rasuah tetapi harus tercetus dari sikap bertanggungjawab dan bertimbang rasa.
Jika diteliti, ada sebabnya seseorang isteri tidak memberi keizinan kepada suaminya untuk pergi memancing. Sebab-sebabnya adalah logik dan bukannya remeh temeh seperti yang selalu diperkatakan. Kita haruslah menilai apa puncanya, kerana selain masalah di pihak isteri, barangkali masalah sebenar adalah terletak di bahu si pemancing.
Antaranya kerana ia mengabaikan tanggungjawabnya, misalnya dari segi memenuhi keperluan keluarga, isteri dan anak-anaknya, kerana si pemancing terlalu lama dan kerap memancing hingga langsung tidak balik ke rumah. Mungkin puncanya ialah si suami terlalu boros dalam membeli peralatan memancing sehingga wang untuk membeli susu atau napkin pun dibedalnya. Atau si pemancing gila kemaruk dan selalu meminta hutang dengan isteri untuk mengikuti trip atau tidak boleh melakukan aktiviti-aktiviti lain selain membelek majalah dan peralatan pancing. Atau paling buruk, ia berpunca dari sikap sikap acuh tak acuh suami yang menyebabkan isteri curiga sama ada si suami mahu pergi memancing atau melencong ke tempat yang lain atau ada sebab-sebab penting yang lain yang menyebakan si isteri keberatan membenarkan pemancing keluar rumah.
Jadi sebab yang menghalang lesen itu diberikan bukannya kerana suka-suka atau tanda isteri tak saying dan memahami minat suaminya, tetapi kerana kelemahan si pemancing sendiri yang gagal menunjukkan imej pemancing yang baik kepada isterinya. Pendek kata, sporting si isteri pun ada batasnya juga, dan pemancing tidak boleh mengambil mudah dan berbuat sesuka hatinya. Ia haruslah berani menerima teguran jika ditegur atau dimarahi oleh si isteri. Jika isteri hanya buat-buat tak tahu atau langsung tidak mengambil peduli, itu bukan menunjukkan kasih sayang tetapi masalah. Mungkinkah ada sesuatu yang tidak kena berlaku dan para pemancing janganlah pula merasa terlalu bangga.
PETUA UNTUK SUAMI:
1. Ambil hati isteri
2. Bahagi masa antara pancing dan keluarga
3. Ajak isteri memancing bersama-sama
4. Jangan boros dalam membeli alatan memancing dan menyertai trip pancing
5. Jangan terlalu kerap menyertai trip pancing.
6. Pastikan semua keperluan sesi keluarga, khususnya isteri dipenuhi sebelum meninggalkan rumah.
7. Tunaikan segala tanggungjawab sebagai suami, bapa dan ketua keluarga
8. Jangan salah guna lesen yang diberikan dengan melakukan perkara-perkara yang boleh menimbulkan ketidakpercayaan isteri.
9. Bersikap cuba memahami dan menghormati pendapat isteri.
10. Berbincang dan beri penjelasan yang baik tentang apa rasional dan pentingnya hobi ini kepada diri kita
11. Tunjukkan contoh atau kesan yang baik sebagai pemancing beretika
12. Jangan bergaduh dengannya kerana ia tidak memberi kita keizinan untuk menyertai sesuatu trip.
13. Tanam dalam diri keluarga lebih penting daripada memancing.
father and me fishing
Perbincangan di sini bukanlah mahu memberikan nasihat sebagai pakar hubungan keluarga, tetapi sekadar bertujuan mengurangkan salah faham yang selalu wujud isteri dan pemancing. InsyaAllah, jika mendapat restu daripada isteri, rezeki si pemancing pasti akan murah dan dapat pancing setenang-tenangnya. Dengan itu, sukan atau hobi memancing dapat berfungsi untuk mengeratkan hubungan antara individu, keluarga, masyarakat dan negara.
sharing from kaki pancing
http://www.utaraanglers.com/articles/41-pemancing-isteri-dan-.html

No comments:

Post a Comment